Saturday, 20 May 2017

Tujuan Kelab Kerjaya

Kelab Kerjaya,Bimbingan dan Kaunseling ditubuhkan agar anggotanya dapat menjadi PRS yang mengkhususkan kepada beberapa kemahiran antaranya :



  • Mendapat pengetahuan dan berupaya memahami dan menilai kelebihan dan kelemahan diri.
  • Membina strategi bagaimana meningkatkan kelebihan diri dan mengurangkan kelemahan diri supaya dapat membina sifat positif.
  • Memahami diri dan menguasai kemahiran asas berkomunikasi.
  • Memahammi sifat remaja.
  • Menjadi mata dan telinga sekolah.
  • Menolong rakan-rakan sebaya yang berisiko tinggi supaya berhubung dengan guru bimbingan dan menjadi kaunselor rakan sebaya.  

Labels:

Program Jati Diri

PROGRAM JATI DIRI



  • Memberi ruang untuk peserta meluahkan perasaan
  • Menyediakan masa dan tempat untuk peserta menceritakan masalah
  • Mengubah corak pemikiran para peserta
  • Mengenal pasti masalah sebenar peserta sehingga mereka melakukan kesalahan displin
  • Untuk menerapkan nilai-nilai murni kedalam diri peserta

Labels:

Terciptanya Satu Blog Untuk UBK


Lama rasanya berhajat untuk memiliki blog UBK sendiri, akhirnya berjaya menyiapkannya dengan mudah. Terima kasih rakan yang membantu. Blog ini akan digunakan untuk berhubung terus dengan pelajar dan rakan guru yang lain selain sebaran terkini aktiviti UBK.


Semoga dengan adanya blog UBK ini memberi manfaat kepada seluruh warga sekolah dan pelajar.

Labels:

KENALI KAUNSELOR ANDA

KAUNSELOR 1


Nama :
Kelayakan :
Alamat :

KAUNSELOR 2


Nama :
Kelayakan :
Alamat :

Labels:

Pengenalan Kaunseling


Kaunseling adalah satu proses pertolongan yang profesional bertujuan membantu individu untuk memahami diri dan dunia persekitarannya. Kaunselor adalah individu yang akan mengendalikan proses kaunseling.  Kaunselor ini adalah profesional dan mempunyai kelayakan dalam bidang kaunseling.  Individu yang bakal dibantu dikenali sebagai klien.  Proses kaunseling akan menggunakan kaedah perbualan secara bersemuka di antara kaunselor dengan klien. Perbualan ini mempunyai struktur dan juga bermatlamat. Kaunselor akan menggunakan kemahiran-kemahiran asas kaunseling akan di dalam perbualan berstruktur ini. Sesi perbualan ini pada kebiasaannya berlaku lebih daripada sekali atau bersiri. Kekerapan ini bergantung dengan isu atau masalah yang dikongsi oleh klien bersama dengan kaunselor.  Tahap-tahap tertentu akan dilalui di dalam perbualan ini di dalam proses kaunseling. Masalah klien dijangka dapat diselesaikan melalui temubual bersiri ini.

Bilangan individu yang terlibat di dalam proses kaunseling adalag bergantung kepada jenis kaunseling yang dijalankan. Dua orang akan terlibat di dalam kaunseling individu dan lebih daripada dua orang dalam kaunseling kelompok. Proses penerokaan, mengenalpasti masalah dan jalan penyelesaiannya akan berlaku di dalam sesi. Proses mengenalpasti masalah dan penyelesaiannya biasanya ada berkaitan dengan masalah dalam kehidupan harian termasuk hal-hal keluarga dan pekerjaan klien. Walau bagaimanapun isu yang ditangani di dalam kaunseling tidak semestinya masalah. Dalam kaunseling pengembangan, klien boleh berbincang dengan kaunselor untuk meningkatkan konsep kendiri yang rendah, meningkatkan kemahiran berkomunikasi atau kemahiran-kemahiran yang lain.

Kaunseling adalah satu proses pendidikan kerana klien akan dibimbing untuk memahami dan menemukan kemampuan diri untuk memperkembangkan potensi dirinya. Proses pembelajaran akan berlaku di dalam diri klien. Pembelajaran ini pula akan berlaku secara berterusan sehinggalah klien dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat dan persekitarannya. Proses yang dilalui adalah mengikuti tahap dan peringkat yang bersistem. Tahap ini akan menentukan keberkesanan perkhidmatan kaunseling yang diterima oleh klien.

Konsep asas bimbingan, kaunseling dan psikoterapi.

Bimbingan

Konsep bimbingan dengan kaunseling seakan sama namun terdapat perbezaan di antara ke duanya. Bimbingan merupakan  satu proses untuk membantu individu memahami diri dan persekitarannya. Proses yang dilalui adalah berperingkat peringkat untuk mencapai matlamat yang ditentukan. Matlamat akhir ialah untuk mengubah pemikiran, emosi dan tingkahlaku yang lebih positif agar individu berkenaan memperolehi kesejahteraan di dalam kehidupan mereka.

Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan bimbingan adalah  salah satu perbuatan membimbing, memberi petunjuk, huraian, dll.
Ini bererti terdapat pihak yang mempunyai kemahiran untuk  memberi pentunjuk dan panduan yang boleh dimanfaatkan oleh seseorang. Kaedah membimbing ini boleh jadi dalam bentuk menghurai kepada sesuatu permasalahan sehinggalah orang yang dibimbing memperolehi jalan penyelesaian. Nasihat juga menrupakan elemen yang ada dalam proses tersebut.

Sementara Shertzer & Stone (1992) pula menyatakan bahawa bimbingan merupakan suatu proses yang membantu individu memahami diri mereka dan dunia mereka. Ini bererti individu akan diberi bimbingan untuk mengenali diri individu dalam pelbagai aspek. Individu yang memahami kekuatan dan kelemahan diri akan menjadikan individu lebih menerima dirinya sendiri. Ini akan menghindarkan individu tersebut mengalami konflik diri. Ia juga akan membantu individu untuk berinteraksi dengan persekitaran dengan lebih harmoni.

Bimbingan pula adalah merupakan suatu proses untuk membantu individu membuat keputusan penting dalam kehidupan klien. Bimbingan juga melibatkan proses yang melibatkan tindakan-tindakan atau langkah-langkah untuk mencapai matlamat klien. Kaunselor akan memainkan peranan seperti yang sepatutnya dimulai dengan langkah pembentukan atau penjelasan matlamat klien.  Klien juga dibantu untuk mencari jalan bagaimana menentukan tindakan yang sepatutnya diambilnya pada masa sekarang dan masa hadapan.

Kaunseling

Kaunseling pula adalah suatu proses pertolongan yang lebih menumpukan perhatian kepada membantu individu mengatasi kebuntuan, kekusutan fikiran untuk meneruskan kehidupan yang lebih tenteram. Kaunseling  memberi manfaat dalam semua bidang kehidupan seperti dalam bidang pendidikan, perubatan, agama, kemasyarakatan, pemulihan, perkahwinan dan kekeluargaan. Ini adalah kerana kaunseling itu sendiri mampu merentasi bidang-bidang yang mencakup segala aspek kehidupan manusia.

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kaunseling didefinisikan sebagai suatu proses teratur yang melibatkan perbincangan rapi tentang masalah yang dihadapi oleh seseorang dan segala usaha mengatasi atau menyelesaikannya menerusi bimbingan dan nasihat. Sementara Cormier & Hackney 1987 pula menyatakan bahawa kaunseling merupakan satu perhubungan menolong di antara seseorang yang terlatih dan mahir dalam teknik menolong secara pertuturan dan mempunyai pengetahuan mengenai perlakuan manusia, dengan seseorang  yang meminta bantuan sama ada secara sukarela ataupun paksa.

Dalam Akta Kaunselor 1998 pula mendefinisikan kaunseling sebagai suatu proses sistematik untuk membantu perhubungan berdasarkan prinsip-prinsip psikologi yang dilaksanakan oleh kaunselor berdaftar mengikut kod etika kaunseling untuk mencapai suatu perubahan,kemajuan, dan penyesuaian yang holistik, baik dan sukarela pada diri klien supaya perubahan, kemajuan dan penyesuaian itu akan berterusan sepanjang hayat klien.

Kaunseling adalah satu proses pertolongan yang dibimbing oleh kaunselor. Bimbingan ini akan memberikan celik akal kepada klien untuk membuat keputusan sendiri. Keputusan tersebut adalah bermatlamat agar klien dapat memperbaiki diri dari aspek yang lemah ke arah perubahan yang lebih positif.

Psikoterapi

Psikoterapi merupakan satu proses yang lebih memberi penekanan kepada proses pemulihan yang lebih kronik. Kaunselor memerlukan ilmu dan kemahiran yang lebih tinggi dibanding dengan kaunseling.  Malahan psikoterapi  ini jarang dikendalikan oleh guru kaunseling kerana ia memerlukan seseorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini seperti seorang pakar psikiatris. Menurut Gladding (2004) psikoterapi adalah merupakan satu proses membantu individu bermasalah psikologi yang lebih serius dalam jangka panjang. Contoh kes yang menggunakan psikoterapi ialah merawat ‘kekeliruan dalam pemikiran’

Matlamat Bimbingan dan Kaunseling

Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling yang ditawarkan mempunyai matlamat yang pelbagai bergantung kepada bidang atau disiplin kaunseling. Perkhidmatan ini bergantung juga kepada kategori perkhidmatan seperti perkhidmatan pencegahan atau menangani krisis. Namun secara umumnya matlamat Bimbingan dan Kaunseling dapat diringkaskan kepada lima matlamat iaitu:

1.      Menjana tingkah laku positif. Kaunselor dijangka dapat mengenalpasti tingkahlaku klien yang negatif. Sekiranya ini berlaku, kaunselor dapat mencari alternatif penyelesaian agar tingkahlaku negatif klien dapat ditukar kepada tingkahlaku yang positif. Kaunselor akan berbincang dan sama-sama mencari alternatif yang sesuai dan dipersetujui oleh klien untuk melakukan perubahan tersebut. Klien akan bertanggungjawab terhadap pilihan tersebut walaupun dipersetujui bersama-sama.

  Menjana hubungan yang positif. Melalui proses kaunseling, klien diharap menguasai kemahiran berkomunikasi secara berkesan untuk membina hubungan yang positif dengan persekitaran. Halangan komunikasi biasanya mendatangkan masalah yang besar kepada klien apabila berinteraksi dengan orang lain. Justeru itu, halangan-halangan ini akan diminimakan agar klien dapat membina hubungan yang lebih baik dan berkesan.

  Menjana kendiri efektif. Konsep kendiri yang tinggi akan membuatkan individu lebih berfungsi dengan positif di dalam masyarakat. Interaksi dengan ahli masyarakat dengan boleh menjadikan individu ahli masyarakat yang positif. Penyelesaian masalah peribadi dan menyesuaikan diri dengan keperluan persekitaran adalah matlamat dalam perkhidmatan kaunseling kepada kliennya.

Membuat keputusan rasional. Individu terdedah untuk membuat keputusan pada setiap masa. Setiap keputusan akan mendedahkan dengan risiko. Justeru itu, proses bimbingan dan kaunseling dijangka akan dapat membantu seseorang itu dalam membuat keputusan yang rasional dan bermakna. Keputusan tersebut dijangka akan memberi manfaat dan kelebihan yang lebih baik kepada individu tersebut.

 Pencapaian potensi diri.  Melalui proses kaunseling, klien dijangkakan akan mendapat menyedari kekuatan, kebolehan, bakat dan minat diri yang boleh diperkembangkan untuk membina potensi diri ke tahap optima.  Kesedaran ini dijangkakan akan diperolehi oleh klien hasil daripada temubual dan perkongsian maklumat oleh klien bersama kaunselor. 

 Prinsip & Falsafah Bimbingan dan Kaunseling

Terdapat prinsip dan falsafah yang menjadikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sebagai satu perkhidmatan yang baik dan tersusun. Prinsip ini akan menjadi dasar dan garis panduan kepada pemikiran atau tindakan para pengamal kaunseling. Banyak prinsip dan falsafah bimbingan dan kaunseling mengikut pandangan dan pendapat pakar-pakar kaunseling.

McDaniel dan Shaftel (1956), mengemukakan prinsip-prinsip utama kaunseling iaitu setiap klien hendaklah diterima sebagai individu dan dilayan dengan baik.  Layanan yang baik membawa maksud individu tersebut perlu memperolehi layanan seperti orang lain yang memerlukan pengiktirafan dan layanan selaras dengan keperluan seorang manusia. Ini juga membawa maksud bahawa klien tidak boleh dilabel atau didiskriminasikan walaupun klien datang datang keadaan apa sekali pun. Perbezaan bangsa, agama taraf sosio-ekonomi tidak menjadikan klien dapat kategori yang beberza-beza. Kaunselor haruslah menerima klien seperti yang apa yang sedang dihadapinya.

Mc Daniel juga menegaskan perlunya satu perhubungan yang permisif di atara kaunselor dan klien. Hubungan ini member hak kepada klien untuk menamatkan hubungan sekiranya wujud sebab-sebab klien tidak lagi merasa selesa atau tidak memerlukan perhidmatan kaunseling lagi.  Di samping itu, kaunselor tidak boleh menerapkan nilai dan ideanya kepada klien. Beliau juga menegaskan perlunya kewujudan  pemikiran bersama di antara kaunselor dengan klien. Prinsip dan falsafah kaunseling juga harus berlandaskan  prinsip-prinsip demokrasi.

Manakala Patterson (1967) pula mengemukakan prinsip-prinsip kaunseling seperti kaunseling ialah proses yang bertujuan untuk mempengaruhi perubahan tingkah laku klien secara sukarela. Ini membawa erti bahawa perubahan tingkahlaku adalah matlamat yang diberi fokus utama oleh kaunselor. Klien seharusnya merubah daripada aspek tingkahlaku. Perubahan yang diharapkan harus berlaku secara sukarela. Walau pun klien adalah klien yang dirujuk namun dengan proses yang dilalui akan memungkinkan klien akan mengubah tingkahlaku secara sukarela.

Tambahnya lagi kaunselor harus menjadi seorang pendengar yang baik. Semua yang diucapkan oleh klien akan didengar oleh kaunselor. Mendengar adalah eleman penting dalam proses kaunseling. Walau bagaimanapun aktiviti mendengar tidak membawa makna proses kaunseling telah berlaku.

Prinsip lain yang dikemukkan ialah mengiktiraf bahawa kaunselor ialah seseorang yang sememangnya mempunyai ilmu dan kemahiran. Dengan ini kaunselor adalah seorang yang mampu untuk membantu klien menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Kaunselor akan senantiasa  mendengar dan memahami klien sedaya upaya untuk memudahkan proses membantu ini berlaku dengan berkesan.  

Sementara Biasco, F. (1966) mengemukakan prinsip-prinsip bahawa kaunseling bukan hanya untuk mereka yang mempunyai masalah sahaja. Kaunseling terbuka kepada semua orang yang memerlukannya. 

1.       Bimbingan dan kaunseling adalah untuk membantu klien memperolehi pengetahuan dan fahaman diri. Melalui bimbingan dan kaunseling, klien akan mudah memahami mengenal dan memahami diri sendiri. Proses kaunseling itu sendiri akan membawa klien kepada realiti kehidupan sehingga klie mendapat celik akal untuk lebih mengerti dan memahaminya.

2.       Kaunseling adalah paling berkesan apabila dirancangkan secara sistematik dan teratur. Kaunseling adalah satu bidang yang profesional dan dikendalikan oleh kaunselor yanng berkelayakan dan bertauliah. Langkah dan proses yang dijalani adalah bersistematik dan teratur. Ini akan memungkinkan keberkesanan proses kaunseling yang dijalankan.

3.       Program kaunseling akan lebih berkesan sekiranya terdapat kerjasamaa di antara murid-murid, guru-guru, ibu bapa, pihak pentadbir dan kaunselor sekolah. Memandangkan permasalahan yang dialami oleh klien sering berkaitan dengan orang-orang yang berada di sekeliling kehidupannya, terdapat keperluan yang kuat untuk membina kerjasama di kalangan mereka.

4.       Bimbingan dan kauseling menitikberatkan perkembangan individu dari segi masa dan bidang. Kaunseling bukan hanya terhad kepada penyelesaian masalah klien malahan ia dijangkakan akan memperkembangkan banyak aspek dalam diri klien. Perkembangan yang diharapkan ini akan menentukan masa untuk dicapai.  Begitu juga aspek dan bidang-bidang tertentu yang klien itu sendiri setuju untuk memperkembangkannya.

Prinsip yang paling penting sewaktu menjalankan aktiviti kaunseling ialah mengiktiraf bahawa semua manusia mempunyai hargai diri. Pengiktirafan ini dilakukan kepada semua peringkat manusia daripada kanak-kanak sehinggalah orang dewasa. Batasan juga tidak terhad kepada pangkat, kedudukan, bangsa dan  kepercayaan dalam agama. Semua manusia ini perlu dihormati sebagai seorang individu yang mempunyai harga diri.

Manusia juga mempunyai keunikan yang tersendiri dan perlu diiktiraf. Plato pernah melontarkan pandangan bahawa ‘tiada duanya manusia yang sama’. Ini bererti tidak ada manusia yang sama dan masing-masing mempunyai indentiti, personaliti, kebolehan, keupayaan dan fahaman yang berbeza.  Dengan perbezaan inilah menjadi keunikan kepada kejadian manusia itu sendiri. Justeru di dalam kaunseling, keunikan ini mendapat pengiktirafan iaitu kaunselor akan menerima klien itu mengikut keunikan masing-masing.

Pengiktirafan juga berlaku di dalam kaunseling iaitu tanpa ada kecuali, bahawa semua manusia sebenarnya cenderung ke arah kesempurnaan kendiri. Semua manusia ingin meraih kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan mereka. Kecemerlangan ini bertujuan untuk mendapatkan kepuasan diri mengikuti kebolehan, bakat dan kemampuan masing-masing. Oleh itu tidak ada manusia yang ingin gagal, kecewa atau menderita dalam kehidupan. Sekiranya terdapat manusia yang tidak berjaya, susah atau menderita adalah disebabkan faktor-faktor penyebab luaran yang telah menganggu perjalanan kehidupan manusia menuju ke arah kesempurnaan.

Kaunseling juga percaya bahawa manusia sebenarnya berkembang adalah kerana proses sosialisasi. Manusia sentiasa bergerak dan berhubung di antara satu sama lain. Interasi yang berlaku ini adalah merupakan salah satu proses pembelajaran yang memberi kesan kepada individu itu berkembang dengan sempurna. Proses sosialisasi ini akan memberikan kesan pertumbuhan dan perkembangan kepada individu berkenaan. Oleh itu manusia tidak boleh mengasingkan diri untuk tidak bergaul dan berhubung sesama manusia. Individu harus mempunyai kemahiran bersosial dan menyesuaikan diri dengan masyarakat. Individu yang gagal akan mengakibatkan mereka terasing dan seterusnya menimbulkan konflik diri.

Keperluan Bimbingan dan Kaunseling

Merujuk kepada buku Panduan Perlaksanaan Khidmat Bimbingan dan Kaunseling di sekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, program bimbingan mempunyai beberapa objektif untuk memenuhi keperluan bimbingan dan kaunseling. Antara keperluan bimbingan dan kaunseling adalah seperti berikut:

1.Memberi khidmat penyuburan dan pengayaan yang meliputi semua aspek perkembangan murid-murid. Ini dapat dilakukan dengan menyediakan peluang kemudahan dan pengalaman yang sejajardengan kemampuan dan potensi murid.

2.   Menyediakan khidmat pencegahan seperti menghindarkan murid-murid dari terlibat dalam masalah disiplin tingkah laku yang tidak sopan, penyalah gunaan dadah dan sebagainya.

3.  Menyediakan perkhidmatan kaunseling krisis.

4.  Menyediakan perkhidmatan pemulihan seperti membantu murid-murid mengatasi masalah dari segi akademik, sosioemosi dan kerjaya.

Labels:

SENARAI TUGAS KAUNSELOR



  • Menyedia rancangan tahunan program dan aktiviti perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Sekolah
  • Mengenalpasti keperluan perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling sekolah melalui kajian keperluan, soal selidik, temu bual dan perbincangan dengan pelajar, guru, pentadbir, kakitangan sekolah, ibu bapa dan bekas pelajar.
  • Merancang, mengawalselia dan mengemaskini rekod dan inventori pelajar.
  • Mengumpul, menyelia, menyebar maklumat Bimbingan dan Kaunseling kepada semua pelajar melalui sebarang media yang sesuai.
  •  Mengelola dan melaksanakan aktiviti Bimbingan dan Kaunseling kelompok dan tunjukajar (instructional) yang meransang perkembangan pelajar secara optimum.
  • Merancang, melaksana dan mengawalselia perkhidmatan kaunseling individu secara profesional dan beretika.
  • Merancang, melaksana, mengawalselia aktiviti kemahiran belajar untuk semua pelajar.
  • Merancang, melaksana, mengawalselia serta menilai program dan aktiviti pemberian maklumat sesuai dengan penawaran pakej pensijilan terbuka dan  keperluan IPT.
  • Merancang, melaksana, mengawalselia dan menilai program dan aktiviti pendidikan pencegahan dadah, inhalan, rokok dan alkohol.
  • Merancang, melaksana, mengawalselia dan menilai program dan aktiviti untuk menyedia dan mendedahkan pelajar kepada peluang melanjutkan pelajaran di  institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
  • Merancang, melaksana, mengawalselia dan menilai program dan aktiviti perkhidmatan konsultasi dan rujukan berhubung Bimbingan dan KAunseling,  Kerjaya dan Pendidikan Pencegahan Dadah.
  •  Merancang, melaksanakan, mengawalselia dan menilai program dan aktiviti konferens dengan ibu bapa, guru, kakitangan bukan guru dan agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang terlibat dalam proses pendidikan dan perkembangan pelajar.
  • Membuat penilaian aktiviti, modul, model, instrumen dan pendekatan secara menyeluruh bagi meningkatkan mutu dan profesionalisma perkhidmatan  Bimbingan dan Kaunseling.
  • Merancang, menyelaras dan menilai sumber dan bahan resos perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling.
  • Menjadi urusetia kepada Jawatankuasa Penyelaras Perkhidmatan Bimbingan dan KAunseling.
  • Menjadi penggerak utama dalam program latihan dalaman bagi menyebarkan kefahaman dan peningkatan profesionalisma perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah.
  •  Memberi khidmat kaunseling krisis kepada pelajar, guru, kakitangan dan ibu bapa yang memerlukannya.
  •  Menjadi personel perhubungan/seranta sekoalh dengan agensi-agensi luar yang berkaitan.
  •  Menjadi ahli jawatankuasa ex-oficio dalam jawatankuasa kurikulum sekolah.
  •  Menjadi ahli jawatankuasa dalam Majlis Perancang Sekolah, Disiplin Sekolah dan Jawatankuasa Lembaga/Badan Pengawas Sekolah.
  •  Menjadi penyelaras dalam program mento-mentee sekolah.
  •  Menjadi Penyelaras dalam program-program pengembangan pelajar seperti kolokium, motivasi, kem jaya diri dan kursus ketatanegaraan.


Labels:

Ikrar PRS


Saya/kami dengan ini berikrar dan menerima dan mematuhi serta mengamalkan teras-teras perkhidmatan semasa berkhidmat sebagai Pembimbing Rakan Sebaya(PRS)
  • Menerima jawatan ini dan sanggup memikul tanggungjawab serta amanah yang diberikan tanpa mengira masa dan rakan.
  • Berpegang teguh kepada etika Pembimbing Rakan Sebaya.
  • Berusaha menjadi pelajar contoh.
  • Berazam meningkatkan mutu akademik  dan disiplin diri.
  • Berkhidmat dengan penuh kemesraan dan kasih sayang.
  • Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan PRS.

Labels: